fb fb fb fb fb

Menteri Besar Perak ucap takziah kepada keluarga mangsa

Foto Facebook Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 23 April- Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Pada masa sama beliau turut mendoakan semua keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan berhubung insiden berkenaan.

"Takziah kepada seluruh keluarga wira-wira TLDM yang terlibat dalam tragedi kemalangan helikopter di TLDM Lumut pagi tadi.

"Ya Allah Azza Wa Jalla, Kau ampunkanlah dosa mereka, Kau angkatkanlah darjat mereka ke tahap yang tertinggi, sesuai dengan pengorbanan tinggi yang mereka curahkan buat agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook.

Dalam pada itu Exco Kerajaan Perak Datuk Zolkafly Harun telah mewakili Menteri Besar Perak untuk menziarahi keluarga mangsa di lokasi kejadian.

Menteri Besar Perak turut menyalurkan sumbangan kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Kesemua jenazah mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk menjalani bedah siasat.

Dalam kejadian 9.30 pagi tadi, 10 anggota TLDM terkorban ketika melakukan Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90.

Kedua-dua pesawat berlepas dari Padang Sitiawan pada pukul 9.03 pagi.

Pesawat HOM telah terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Kesemua mangsa berumur antara 26 hingga 41 tahun.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI