KUALA LUMPUR, 3 Jun - Menteri Besar dan Ketua Menteri menerusi media sosial merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Ibrahim.
“Sembah takzim daripada patik dan seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mendoakan semoga Allah SWT melanjutkan usia dan pemerintahan Seri Paduka Baginda.
“Patik sekalian memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar Seri Paduka Baginda sentiasa dilimpahi keberkatan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendoakan semoga Allah SWT merahmati dan memberkati pemerintahan Seri Paduka Baginda Tuanku.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof dan barisan kepimpinan Negeri Melaka, Ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri, kakitangan kerajaan dan swasta serta seluruh rakyat Negeri Melaka mengucapkan Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ucapan merafak sembah dan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong turut dikongsikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud.
“Penghayatan Membangun Bersama Islam,” kata Nassuruddin dalam ucapannya.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat negeri Terengganu mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong sentiasa dipanjangkan usia dan diberkati pemerintahan.- BERNAMA