fb fb fb fb fb

Menteri Agama seru hentikan eksploitasi tabung Palestin 

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Nai'm Mokhtar / FOTO BERNAMA)

SEPANG, 23 Oktober - Sikap mengambil kesempatan sesetengah pihak di atas kemurahan hati rakyat Malaysia dalam isu Gaza, amat dikesali. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Nai'm Mokhtar mengecam tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mengumpul dana kononnya untuk membantu rakyat Palestin.

"Menggunakan tabung itu untuk kepentingan diri, ini yang kita tidak mahu sedangkan mereka yang berada dalam kesusahan, kesukaran itu berada di Gaza sana, menunggu bantuan daripada kita ada pulak mereka di sini yang tidak bertanggungjawab buka tabung untuk kepentingan diri.

"Ini satu perkara yang tidak bertanggungjawab dan kehidupan mereka tidak akan senang kalau menggunakan wang yang telah didermakan oleh orang awam untuk dengan tujuan untuk sedekah dan membantu mereka yang susah," katanya.

Beliau ditemui pada sesi lawatan ke pusat pengumpulan barangan bantuan kemanusiaan Palestin di gudang MAPIM, Sepang.

Tambah Na'im, hampir 50 tan barangan keperluan seperti lima unit generator, set toto, lampin pakai buang dan beberapa barangan keperluan lain dengan nilai RM7 juta akan dihantar menerusi Ops Ihsan yang dijadualkan ke Palestin selewatnya Jumaat ini.

Bantuan kemanusiaan itu diselaraskan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Global Peace Misson (GPM) Malaysia, yang kini sedang menunggu kebenaran kerajaan Mesir bagi penghantaran sumbangan tersebut melalui pintu sempadan Rafah di Mesir.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN