fb fb fb fb fb

Menoktahkan miskin tegar, keutamaan negeri yang melebihi paras nasional

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Kerajaan terus komited untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara tanpa mengira latar belakang kaum dan wilayah atau negeri.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata keutamaan diberikan negeri yang melebihi paras nasional.

"Tumpuan diutamakan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan kemiskinan tegar yang lebih tinggi, melebihi paras nasional iaitu di Sabah (1.2%), Kelantan (0.8%), Sarawak (0.4%) dan Kedah (0.3%). 

"Sebagai contoh, bagi negeri Kelantan, program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah memberi limpahan manfaat kepada 315 isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 melalui program Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan pendekatan basmi miskin tegar (BMT).

"Terdapat peserta yang telah berjaya meraih hasil jualan bulanan berjumlah RM21,900 pada bulan Januari 2024 melibatkan mesin layan diri yang beroperasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang", katanya pada sesi Dewan Rakyat.

Beliau berkata kerajaan memastikan penglibatan golongan sasar miskin tegar menyertai program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi di seluruh negara.

"Dari segi pelan tindakan ini, keutamaan akan diberikan untuk memantapkan penyediaan infrasktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik kepada akses perkhidmatan sosial, mempertingkatkan pembangunan inklusif dan memperkukuhkan kerjasama antara agensi persekutuan dan kerajaan negeri. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas mengenai sasaran kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di Parlimen.

ROSLINA BINTI DIN