JOHOR BAHRU, 1 Jun- Johor memberi jaminan bahawa bekalan lembu di pasaran mencukupi, menjelang sambutan Aidiladha.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata tiada laporan kekurangan bekalan lembu diterima, setakat ini.
Harga bagi bekalan lembu juga berada pada tahap terkawal seperti tahun sebelumnya.
Beliau juga memaklumkan Jabatan Veterinar akan memantau pusat penyembelihan sementara yang akan menjalankan ibadah korban.
"Dia tidak boleh buat secara persendirian, mesti dapatkan kelulusan daripada Jabatan Penternakan Veterinar. Berapa pusat diluluskan? Dalam proses lagi, kerana kalau ikut perancangan hujung bulan Mei, kita keluarkan permohonan.
"Selepas Mei, jabatan akan meninjau keadaan, baru kita luluskan berapa banyak," kata Datuk Zahari kepada pemberita semasa Majlis Perasmian Karnival Usahawan Industri Asas Tani (IAT) Anjuran Jabatan Pertanian Negeri Johor 2024 di Angsana Johor Bahru Mall.
Setakat ini, terdapat 17 pusat sembelihan sedia ada di Johor dengan satu daripadanya adalah milik kerajaan negeri.
Seramai 80 usahawan terpilih telah menyertai Karnival Usahawan IAT yang dianjurkan selama tiga hari sehingga esok, dengan 75 peratus pembayaran reruai ditaja oleh Kerajaan Negeri Johor.