ALOR SETAR, 14 Januari - Liputan jalur lebar mudah alih yang lebih baik dijangka dapat dimanfaat oleh penduduk Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu Kedah apabila siapnya sebuah menara baharu di kawasan itu akhir tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Romani Wan Salin berkata menara dirancang di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dibina pada jarak lebih kurang satu kilometer dari kampung itu.
"Penduduk bakal menikmati kualiti capaian Internet yang lebih baik dan sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka," kata Romani.
Katanya menerusi kenyataan, beliau mengulas aduan penduduk yang disiarkan melalui sebuah media tempatan semalam berikutan capaian internet lemah di kawasan itu.
Tindakan segera diambil oleh Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia Kedah menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan menyantuni wakil penduduk di kampung berkenaan bagi menyelesaikan aduan yang dikemukakan.
"SKMM akan terus memantau pelaksanaan projek berkenaan yang dijangka bermula Mac ini," tambahnya lagi.