fb fb fb fb fb

Melaka siap siaga hadapi peralihan monsun

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin

KRUBONG, 11 April- Kerajaan Negeri Melaka melalui empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana susulan peralihan monsun dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, selain pemantauan berterusan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negeri, amaran awal turut diberikan kepada penduduk terlibat.

Jelasnya, empat PBT itu membabitkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).  

"Berlaku hujan ada yang risau tentang banjir dan sebagainya tetapi hujan ini merupakan rahmat daripada Allah pada musim yang panas ini. Kita juga takut kalau berlaku kekurangan air nauzubillah kalau kemarau.

“Di pihak MetMalaysia, saya juga selalu berbincang, kalau ada apa-apa amaran (berkaitan cuaca) kita akan bagitahu awal (kepada penduduk).

“…dan di pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun NADMA, kita sentiasa bersiap sedia tetapi setakat ini tiada insiden banjir atau apa-apa yang teruk (berkaitan bencana alam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah sebelum ini berkata keadaan cuaca panas dan kering yang dialami ketika ini di kebanyakan kawasan di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April.

Beliau berkata ia susulan permulaan fasa peralihan monsun dijangka bermula 29 Mac dan berterusan hingga Mei, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku sejak 11 November tahun lepas.

Katanya keadaan cuaca berkenaan berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

ZEHRA BINTI ZAMBRI