fb fb fb fb fb

Melaka sedia bekerjasama dengan IMFC untuk tingkat pelaburan

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf ketika berucap merasmikan Melaka Industrial Night 2024 di sini malam tadi.

MELAKA, 29 Februari- Kerajaan Melaka sedia memberi sokongan penuh menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Melaka kepada penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) dalam usaha meningkatkan pelaburan di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata langkah itu akan menjadikan Malaysia, khususnya Melaka , negeri mesra pelabur dan perniagaan sejajar dengan aspirasi pelaburan nasional.

Beliau berkata bagi tempoh 2021 hingga suku ketiga 2023, MIDA telah meluluskan pelaburan baharu dan tambahan bernilai RM19 bilion ke Melaka yang merangkumi 480 projek selain mewujudkan 10,427 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan peringkat jawatan.

"Ini menunjukkan kejayaan hasil usaha sama antara kerajaan dan pihak swasta yang menggembleng tenaga mewujudkan ekosistem pelaburan yang stabil, kondusif serta kompetitif," katanya.

Ab Rauf berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Melaka Industrial Night 2024 di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Mengulas selanjutnya, beliau turut berkongsi kejayaan Melaka menarik sebanyak 151 projek pelaburan bernilai RM4.7 bilion pada suku kedua 2023.

Ini termasuk pelaburan tambahan RM1 bilion daripada KOA Denko Malaysia Sdn Bhd yang juga pembekal elektronik global dari Jepun.

Beliau juga optimis terhadap keyakinan pelabur ke atas Melaka yang mempunyai tiga kawasan zon perdagangan bebas.

Pada majlis itu, sebanyak 19 syarikat menerima anugerah penghargaan Jawatankuasa Industri Negeri Melaka, termasuk Anugerah Penghargaan Pelaburan Lima Bintang kepada tiga syarikat yang berjaya mencatat nilai pelaburan tertinggi bagi 2023.

Syarikat tersebut adalah Malaysian Refining Company Sdn Bhd, Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan Sunpower Malaysia Manufacturing Sdn Bhd.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI