Melaka gazet lebih 1,000 hektar tanah sawah sebagai zon pertanian

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (tengah)/Foto BERNAMA

MERLIMAU, 14 Februari – Lebih 1,000 hektar tanah sawah di Melaka digazetkan bagi memastikan kawasan itu kekal sebagai zon pertanian dan tidak dibangunkan secara kekal pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pewartaan lebih 1,000 hektar sawah di Melaka bagi memastikan zon pertanian kekal dan tidak dibangunkan.
  • Langkah selari usaha persekutuan menjadikan Zon Selatan sebagai jelapang padi baharu.
  • Pewartaan penting untuk menjamin pengeluaran beras Melaka dan mengekalkan bekalan tempatan.
  • Kawasan digazetkan merangkumi Sungai Rambai, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata langkah itu selari usaha kerajaan persekutuan menjadikan negeri di Zon Selatan sebagai kawasan jelapang padi baharu.

Beliau berkata pewartaan berkenaan penting untuk menjamin pengeluaran beras Melaka pada masa depan.

“Hampir 1,000 hektar tanah sawah di Melaka telah digazetkan. Kita tidak mahu dalam tempoh 10 tahun akan datang anak-anak tidak lagi melihat kawasan sawah kerana tanah dijual untuk pembangunan.

Bekalan beras negeri ketika ini hanya sekitar 12 peratus dan boleh menjadi lebih rendah jika tidak dipelihara. Pewartaan ini menunjukkan keseriusan kerajaan negeri untuk melindungi kawasan sawah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jualan Agro MADANI peringkat Melaka di Dataran Orang Kampung, Merlimau.

Tambahnya, kawasan terbabit meliputi Sungai Rambai, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangka strategi menjadikan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebagai jelapang padi baharu selaras sasaran meningkatkan tahap sara diri beras negara kepada 80 peratus menjelang 2035.