fb fb fb fb fb

Melaka beri bayaran khas penghargaan kepada penjawat awam negeri

AYER KEROH, 3 Ogos - Kerajaan negeri Melaka mengumumkan bayaran khas sebanyak RM300 kepada penjawat awam negeri dan akan dibayar sebelum 10 Ogos ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Bantuan Khas Penghargaan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2.15 juta kepada 7,190 penjawat awam di negeri itu.

Beliau berkata, ia akan disalurkan kepada penjawat awam di bawah perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

(Bayaran khas sebanyak RM300 kepada penjawat awam negeri dan
akan dibayar sebelum 10 Ogos ini)

"Selaras dengan pengumuman kerajaan Persekutuan, maka kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Penghargaan kepada semua penjawat awam di Melaka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di MITC, di sini.

Sementara itu, Ab Rauf berkata Invest Melaka akan menjadi pusat sehenti bagi tujuan merancang, menyelaras, memantau dan memudah cara berkaitan sektor pelaburan negeri itu.

Ini sekaligus memudahkan pelabur untuk berurusan dengan agensi tersebut terutama bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan urusan pelaburan di Melaka.

"Melaka Invest juga akan mempersembahkan kepada mana-mana pelabur untuk membuat pilihan, dia bukan satu perkara wajib tetapi kalau mereka memilih kaedah yang kita bentangkan melalui Melaka Invest ini, InsyaAllah ramai pelabur akan datang," katanya.

Media Baharu