BANDA HILIR, 21 Februari- Kerajaan Negeri Melaka menyatakan hasrat untuk menjadi tuan rumah pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia susulan dua program pelancongan dunia, Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) yang akan diadakan di Melaka tahun ini, dapat membantu mempromosikan TMM2026.
Justeru kedua-dua program berkenaan dijangka akan dihadiri kira-kira 155 menteri pelancongan seluruh dunia yang akan berada di Melaka sekali gus dapat melonjakkan nama Malaysia dan pelancongan negara.
"Kita berhasrat untuk menjadi tuan rumah memohon kepada kerajaan persekutuan supaya pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 ini dapat diadakan di Melaka kerana Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) yang akan diadakan di Melaka tahun ini.
"Ia memandangkan dua program besar berkenaan akan dihadiri oleh menteri-menteri pelancongan dunia. Kita sudah memohon kepada pihak kerajaan pusat untuk dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri Melaka sewaktu persidangan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Rapat Umum Bahtera Merdeka sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu, di sini.
Pada masa sama imej Melaka sebagai negeri pelancongan dapat membantu memeriahkan lagi promosi TMM2026.
Sementara itu, sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 20 Februari, seramai 75,000 pengunjung hadir di 13 tempat pelancongan di negeri Melaka.