
AYER KEROH, 4 Februari – Melaka bakal menerima pelaburan berskala besar melebihi RM9 bilion selepas sebuah syarikat berpengkalan di Hong Kong iaitu Vitoria Data Centre menyatakan hasrat membina sebuah pusat data.
- Pusat Data AI pertama di Melaka akan dibina di Jasin oleh Vitoria Data Centre dari Hong Kong.
- Pelaburan berskala besar melebihi RM9 bilion dijangka masuk ke negeri ini.
- Projek berfasa melibatkan tiga bangunan pusat data dengan kapasiti IT 96 megawatt.
- Pelaburan ini dijangka memperkukuh ekosistem digital dan memacu transformasi ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penubuhan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) yang pertama di Melaka itu akan dibina di Jasin.
Beliau berkata projek mega yang dilaksanakan secara berfasa melibatkan pembinaan tiga buah bangunan pusat data dengan kapasiti IT mencecah 96 megawatt.
“Jadi terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada Melaka untuk membina satu pusat data yang berbentuk pusat data pertama iaitu pusat data AI data akan ada di Melaka. Kerana menunggu keputusan daripada MITI.
“… dan kita akan masukkan dalam bajet tahun kuota pelaburan tahun 2025 yang akan dibentangkan pada persidangan dewan yang akan datang”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 1/2026 di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Kehadiran pelaburan berskala besar itu adalah hasil perbincangan yang diadakan Datuk Seri Ab Rauf dengan kerajaan China baru-baru ini.
Ia dijangka memberi impak transformasi yang signifikan terhadap landskap ekonomi negeri, khususnya dalam memperkukuh ekosistem digital dan pemerkasaan AI.