AYER KEROH, 17 Februari- Melaka akan menganjurkan semula Liga Hoki Melaka selepas kali terakhir dilaksana pada 2018.
Presiden Persatuan Hoki Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, mesyuarat mengenainya akan dilaksana dalam masa terdekat dan dijangka bakal dianjurkan pada Julai atau Ogos depan.
“Saya jangkakan mungkin dalam bulan Julai atau Ogos tahun pada tahun ini, tapi kita akan minta dahulu daripada pihak Konfederasi Hoki Malaysia, garis panduan bagaimana untuk kita lakukan dan bila bulan atau tarikh yang sesuai. Kita memang akan buat pada tahun ini, itu komitmen saya yang pertama sebagai presiden dan kita akan pastikan setiap tahun kita tidak akan miss lagi adakan Liga Hoki Negeri Melaka", katanya kepada media semasa Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Hoki Melaka kali ke 24 di Ayer Keroh.
Datuk Rais yang juga Exco Kanan Melaka menyatakan komitmen itu sebaik dilantik sebagai Presiden baharu Persatuan Hoki Melaka menggantikan Habibul Ajmi Manggar pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan berkenaan kali ke-24 di Ayer Keroh.
Dalam pemilihan itu juga menyaksikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dilantik sebagai Timbalan Presiden.
Naib Presiden pula Azrul Effendy Bistaman, Mazlan Mohd Said, Shamsulharul Anuar, Borhan Mustapa dan Rogayah Mohamad, manakala Francis Leong kekal sebagai Setiausaha Kehormat.