MEKAR mudahkan penggantian MyKad OKU

Foto Facebook Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

GUA MUSANG, 12 Februari – Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) inisiatif Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjaya membantu seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kala, Gua Musang, Kelantan menggantikan MyKad baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program MEKAR bantu penggantian MyKad OKU selesai dalam masa singkat melalui kerjasama JPN dan ADUN Nenggiri.
  • JPN Kelantan terima ribuan permohonan dan beri khidmat nasihat untuk urusan pendaftaran dan penggantian dokumen.
  • MEKAR laksanakan ratusan program sepanjang 2025 untuk memudahkan dokumentasi identiti penduduk luar bandar dan golongan memerlukan.

Hasanah Husin, adik kepada seorang pesakit OKU meluahkan syukur apabila menerima MyKad baharu bagi pihak kakaknya.

“Saya rasa bersyukur dan berterima kasih. Saya sangat gembira kerana MyKad kakak saya siap juga. Sebelum ini, saya risau kerana ia tidak boleh digunakan. Alhamdulillah dengan pertolongan Mekar JPN dan ADUN Neggiri, urusan selesai dalam masa dua minggu,” katanya.

Sementara itu Pengarah JPN Kelantan, Halimatusaadiah Ramli@Mohd Shah berkata, sebanyak 2,004 permohonan menerusi lima inisiatif program Mekar diterima JPN Kelantan sepanjang 2025.

Ia bertujuan membantu golongan sasaran termasuk penduduk luar bandar, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta komuniti yang layak bagi permohonan dan penggantian dokumen pengenalan diri.

Sebanyak 2,789 khidmat nasihat turut diberikan kepada orang ramai bertujuan memastikan setiap individu memahami langkah-langkah yang perlu diambil melibatkan urusan pendaftaran urusan secara tepat dan efisien.

ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang ditemui pula berkata, inisiatif yang dilakukan memudahkan urusan penduduk di kawasan pedalaman, terutamanya bagi golongan yang memerlukan perhatian khas seperti OKU.

“Semestinya kita ingin memudahkan urusan warga Nenggiri yang berada di kawasan kampung pedalaman. Hubungan antara pusat khidmat dan agensi adalah amat penting.

“Saya sangat berterima kasih kepada agensi JPN yang selalu turun bersama kami di pusat khidmat dalam menyelesaikan masalah membabitkan kad pengenalan warga DUN Nenggiri,” katanya.

Pada 2025, sebanyak 235 program MEKAR dilaksanakan bagi mendekati rakyat serta memudahkan urusan dokumentasi pengenalan diri terus di lapangan.

Berdasarkan jumlah itu, MEKAR Ihsan merekodkan pelaksanaan tertinggi dengan 196 program, diikuti MEKAR Komuniti (30), Jejak Identiti (5)
dan Hari Bertemu Pelanggan (4).