Mekanisme pemberian SKDS perlu diteliti lebih rapi

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media di Putrajaya – Foto RTM

PUTRAJAYA, 17 Mac – Mekanisme pemberian Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) perlu diteliti semula dengan rapi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan perlu dipertingkat untuk menangani penyeludupan diesel terutama di Sabah dan Sarawak.
  • Penegasan dibuat susulan maklum balas mesyuarat jawatankuasa berkaitan penguatkuasaan penyeludupan bahan bakar.
  • Perbincangan termasuk sama ada meneruskan mekanisme sedia ada atau merangka pendekatan yang berbeza.
  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup fokus penguatkuasaan di darat; APMM menangani perairan dan kawasan sungai.

Ini bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan, khususnya dalam menangani penyeludupan bahan bakar seperti diesel di Sabah dan Sarawak.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ditekankan susulan maklum balas hasil mesyuarat jawatankuasa yang mengurus aspek penguatkuasaan berkaitan penyeludupan bahan bakar.

“Antara yang diberi penegasan ialah mekanisme SKDS ataupun pemberian subsidi diesel yang mungkin perlu diteliti dengan lebih rapi, sama ada diteruskan dengan mekanisme yang sedia ada ataupun dirangka satu mekanisme yang berbeza,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Datuk Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri turut membincangkan penyelarasan pembahagian tugas antara agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh tindakan di lapangan, selain menangani isu penyalahgunaan dan penyelewengan diesel.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memfokuskan penguatkuasaan di darat, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan perairan dan juga di kawasan sungai.