fb fb fb fb fb

Medium penyampaian maklumat lebih berkesan perlu dimanfaatkan, atasi jurang pengetahuan penjagaan buah pinggang

(Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat ke program kempen ‘Perlis Hebat ; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan)

KANGAR, 19 Mac - Penyebaran maklumat tepat berkaitan kesihatan buah pinggang merupakan agenda penting di mana medium penyampaian yang lebih berkesan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ini adalah kerana penemuan kajian mendapati wujudnya jurang pengetahuan terhadap penjagaan buah pinggang yang amat ketara.

Titah Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, ianya diterjemahkan melalui tabiat pemakanan yang kurang sihat, kecergasan fizikal yang sekian terabai ditambahi dengan situasi COVID-19 yang membataskan pergerakan dan pelbagai faktor lagi.

"Dengan tema sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia tahun ini iaitu‘Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua : Merapatkan Jurang Pengetahuan Untuk Penjagaan Buah Pinggang Yang Lebih Baik” menekankan pentingnya pengetahuan penjagaan kesihatan buah pinggang di dalam segenap lapisan masyarakat agar buah pinggang sentiasa sihat dan dapat berfungsi dengan baik," titah baginda ketika menghadiri kempen ‘Perlis Hebat ; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan, di sini.


(Gambar fail)

Kempen tersebut dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Ia bagi memperingati ‘Hari Buah Pinggang Sedunia’ yang disambut pada tarikh 10 Mac setiap tahun, di mana program ini turut diadakan majlis penyerahan sumbangan MAIPs berjumlah RM11,600 ringgit kepada 29 orang asnaf terpilih di Masjid Al Mustaqim, Seriab.

Jumlah pesakit buah pinggang kronik di Malaysia terus meningkat kepada 42,503 orang pada tahun 2017 dan berlaku peningkatan sebanyak 7,000 pesakit baharu setiap tahun dengan pesakit yang menunggu pemindahan organ pula hampir mencecah 20,000 orang.

Media Baharu