fb fb fb fb fb

Medium media sosial boleh dimanfaat, erat perpaduan kaum

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof

ARAU, 3 Februari- Kepesatan teknologi kini melalui medium media sosial boleh dimanfaatkan untuk mengeratkan perpaduan kaum di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof berkata platform itu mampu mengekalkan ikatan silaturahim walaupun berada saling berjauhan apabila masih dapat berinteraksi antara satu sama lain, sekali gus berpotensi mengukuhkan lagi hubungan pelbagai kaum di negara ini

"Kita kena cari juga jalan bagaimana menggunakan teknologi supaya kita boleh berinteraksi antara satu kaum dengan kaum yang lain. Saya lihat, saya suka kadang kadang melihat juga TikTok, ada remaja ada belia bercakap dengan pelbagai kaum, malah ada yang berinteraksi dengan mereka dari luar negara sekal ipun, jadi ini menunjukkan bahawa, teknologi juga boleh merapatkan kita antara satu sama lain, tapi dengan syarat kita gunakan dengan cara yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian di Karnival Tahun Baharu Cina Pekan Lama Arau 2024 di sini malam tadi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina yang bermula semalam sehingga esok itu.

Turut berangkat ke karnival itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sementara itu, Azman berkata penganjuran program kebudayaan seperti karnival itu boleh menerapkan nilai keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan pelbagai kaum apabila rakyat mendapat pendedahan terhadap budaya sesuatu kaum di negara ini melalui program sedemikian.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI