
ALOR SETAR, 26 Februari – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah memuji tindakan pantas polis menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
- Yayasan MCPF Kedah memuji penahanan suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan menentang Komander AKPS.
- Penahanan dalam kurang 24 jam dipandang sebagai bukti kecekapan pihak berkuasa menanganI keselamatan.
- MCPF sokong pembekalan senjata api mencukupi kepada anggota AKPS untuk perlindungan ketika bertugas.
- Cadangan tingkatkan keselamatan sempadan termasuk pemasangan CCTV di lokasi strategik dan berisiko tinggi.
Pengerusinya, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, penahanan dalam tempoh kurang 24 jam membuktikan kecekapan pihak berkuasa dalammenangani isu keselamatan.
“Tahniah kepada PDRM atas tindakan pantas dan berkesan membanteras jenayah sehingga suspek berjaya ditahan.
“Kami di MCPF serta seluruh rakyat Malaysia menghargai kecekapan pasukan keselamatan,” katanya ketika ditemui RTM.
Beliau turut menyambut baik cadangan supaya anggota keselamatan AKPS dibekalkan senjata api mencukupi bagi melindungi diri ketika bertugas.
Selain itu, tahap keselamatan di kawasan sempadan perlu dipertingkatkan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik dan berisiko tinggi.
Terdahulu di Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan polis telah menahan suspek yang melepaskan tembakan dan proses siasatan sedang dijalankan.
Dalam kejadian kira-kira 5.40 pagi semalam, kenderaan yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.
Mangsa bagaimanapun terselamat dan polis percaya serangan itu bertujuan menakut-nakutkan pasukan penguat kuasa yang aktif melakukan operasi di sempadan.