MCPF disaran main peranan strategik bendung jenayah

Foto Facebook Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Pejabat baharu Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Taman Ikan Emas, Cheras di ibu negara dirasmikan hari ini dalam usaha memperkukuh gerakan pencegahan jenayah di peringkat komuniti.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCPF perlu terus menjadi platform kolaborasi strategik antara kerajaan, agensi keselamatan, sektor swasta dan komuniti untuk membendung jenayah.
  • Pejabat baharu di Cheras dijangka menjadi pemangkin pelaksanaan inisiatif kesedaran, intervensi awal dan program pencegahan jenayah.
  • Kerjasama erat dengan DBKL dan pihak awam serta swasta memperkukuh jaringan keselamatan komuniti dan penyelarasan program.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Pengerusi MCPF menyarankan agar yayasan itu terus memainkan peranan sebagai platform kolaborasi strategik antara kerajaan, pihak berkuasa keselamatan, sektor swasta dan komuniti dalam membantu membendung jenayah.

“Perasmian pejabat itu diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif kesedaran dan intervensiawal dalam usaha menurunkan kadar jenayah serta meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika merasmikan pejabat baharu MCPF di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MCPF Kuala Lumpur, Datuk Azman Abidin dalam ucapannya berkata, pembukaan pejabat baharu itu adalah bersempena dengan tahun ke-33 penubuhannya.

“Ia menjadi simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan keselamatan komuniti serta mempertingkatkan penyelarasan program pencegahan jenayah di peringkat ibu negara.

“MCPF komited menjadi peneraju dalam agenda pencegahan jenayah melalui kerjasama strategik pelbagai pihak, memperkasakan komuniti melalui pendidikan, latihan serta program kesedaran jenayah,” katanya.

Selain itu, MCPF turut menjalin kerjasama erat dengan sektor awam dan swasta bagi memastikan matlamat mewujudkan keselamatan dan keharmonian masyarakat dapat dicapai, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Pejabat MCPF Kuala Lumpur itu merupakan kerjasama erat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Majlis perasmian itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlum Mak Ujud dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.