fb fb fb fb fb

MCMC tolak tohmahan Hunter, buat laporan polis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 April- Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (MCMC) menolak sekeras-kerasnya tohmahan penulis blog, Murray Hunter, yang menuduh suruhanjaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai institusi berlandaskan politik dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

Susulan itu, MCMC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut ke atas Murray Hunter dan lain-lain pihak berkaitan selain menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas.

"Sebagai sebuah badan berkanun, MCMC melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung di dalamnya.

"Segala tindakan penguatkuasaan yang diambil MCMC mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan sebagaimana termaktub dalam bidang kuasa MCMC sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia negara," katanya.

Menurut MCMC penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Penulisan Murray Hunter dilihat berunsur fitnah apabila beliau secara terbuka telah menuduh MCMC bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk kepentingan diri.

Pada masa sama beliau turut melemparkan tohmahan bahawa MCMC dan PDRM bertindak menakut-nakutkan masyarakat.

"Sekiranya Murray Hunter mempunyai sebarang aduan terhadap MCMC, beliau perlu tampil untuk membuat aduan melalui saluran rasmi," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI