KUALA LUMPUR, 19 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MCMC sedang meneliti cadangan penguatkuasaan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan dalam talian.
Langkah itu disasarkan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet.
Jelas Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, cadangan penguatkuasaan pelesenan secara bersasar itu adalah untuk mengawal dan meningkatkan tahap keselamatan dalam talian.
"Cadangan penguatkuasaan pelesenan yang bersasar ini juga dianggap sepadan memandangkan ketersediaan kandungan mudarat yang tinggi di dalam platform media sosial dan pemesejan internet.
"Langkah cadangan kawal selia ini adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam talian serta menangani kandungan yang bertentangan dengan perundangan negara.
"Ia juga seiring dengan pendekatan dan perkembangan global semasa dan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media", kata Nie Ching ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Teo memaklumkan, kerangka Rang Undang-Undang, RUU Keselamatan Dalam Talian sedang diperhalusi dan dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.
Jelasnya, jawatankuasa bagi mengkaji undang-undang baharu itu telah ditubuhkan dan sesi perbincangan juga sedang dilaksanakan.
Penyataan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.