
PUTRAJAYA, 22 Februari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan bersifat mengancam, menghina dan jelik melampau terhadap kerabat Diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di platform X.
- MCMC siasat individu dipercayai muat naik kandungan hina dan mengancam terhadap kerabat Diraja Terengganu.
- Kandungan disentuh sensitiviti 3R, berpotensi cetus kebencian, ketegangan awam dan gangguan ketenteraman negara.
- Individu dipanggil rakaman percakapan; telefon dan kad sim disita untuk analisis forensik digital.
- Siasatan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; tindakan tegas tanpa kompromi menanti pesalah.
Menurut MCMC kandungan tersebut didapati menyentuh sensitiviti institusi Diraja (3R iaitu agama, kaum, Raja) dan mengandungi unsur penghinaan serta ancaman yang berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam dan gangguan terhadap ketenteraman negara.
“Bagi membantu siasatan, individu berkenaan telah dipanggil untuk sesi rakaman percakapan yang dijalankan di Balai Polis Lanchang semalam. Dalam sesi tersebut satu (1) unit telefon bimbit berserta satu (1) unit kad sim telah disita bagi tujuan analisis forensik digital”, katanya menerusi kenyataan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
MCMC turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap institusi Diraja.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas dan profesional selaras dengan undang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak,” katanya.