CYBERJAYA, 16 April- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil pihak pengurusan media Kwong Wah Yit Poh bagi memberikan penjelasan berhubung insiden penyiaran gambar Jalur Gemilang yang tidak lengkap di platform media sosial rasmi organisasi tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan siasatan sedang dijalankan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233, kerana kandungan tersebut dimuat naik menerusi saluran dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara ini dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut, jika diperlukan,” jelas kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut memberi amaran tegas kepada semua pihak termasuk organisasi media dan pengguna media sosial agar tidak memuat naik atau menyebarkan sebarang kandungan yang bersifat memperlekehkan atau memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan ini,” tegas MCMC sambil menekankan komitmen untuk memastikan penggunaan platform digital di Malaysia terus memelihara nilai tertib dan menghormati simbol kebangsaan.