MCMC sekat 20,000 kandungan judi, penipuan dalam 15 hari

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching/Foto fail

KULAI, 7 Februari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia platform media sosial menurunkan lebih 20,000 kandungan berunsur perjudian dan penipuan dalam talian dalam tempoh 15 hari antara 1 hingga 15 Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC bersama platform media sosial menurunkan lebih 20,000 kandungan perjudian dan penipuan dalam talian dalam 15 hari.
  • 15,519 kandungan berkaitan perjudian, manakala 5,421 lagi melibatkan penipuan, kedua-duanya meningkat berbanding tahun lalu.
  • Kebanyakan aduan melibatkan tajaan berbayar atau sponsored post yang disebarkan lebih meluas kepada pengguna.
  • Teo menggesa platform memperkukuh saringan kandungan awal dan bertindak proaktif tanpa menunggu aduan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, 15,519 kandungan membabitkan perjudian dalam talian manakala 5,421 lagi berkaitan penipuan.

Menurutnya, jumlah kedua-dua kategori kandungan itu meningkat berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Kebanyakan kandungan yang diadukan sebenarnya merupakan tajaan berbayar atau sponsored post, iaitu kandungan yang dibayar untuk dipaparkan secara lebih meluas kepada pengguna. Sebab itu platform perlu dipertanggungjawabkan supaya kandungan sedemikian tidak wujud dalam sistem mereka.”

Teo berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Next Gen Luxury Coach di Senai, Kulai, Johor.

Beliau menggesa penyedia platform memperkukuh proses saringan kandungan sejak peringkat awal dan tidak hanya bertindak selepas aduan dibuat bagi memastikan kandungan berbahaya tidak tersebar di media sosial.