KUALA LUMPUR, 16 April - Pemilik akaun media sosial Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) dipanggil untuk rakaman percakapan esok.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, rakaman percakapan Chegubard dan Salim Iskandar akan dijalankan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya manakala Papagomo di Balai Polis Setapak.
"Rakaman percakapan ini adalah susulan aduan berkenaan kandungan yang dimuat naik menerusi laman media sosial yang disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]," menurut kenyataan itu.
Kes disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika disabit kesalahan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali akan dikenakan.
MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.