KUALA LUMPUR, 20 Jun- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Microsoft Malaysia akan bekerjasama untuk meneroka manfaat sosioekonomi AI, termasuk usaha untuk mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan dengan pengetahuan AI dan kemahiran digital.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia bakal direalisasi menerusi menerusi inisiatif program MCMC-Microsoft AI Tech: Skills For AI-Enabled Economy.
"Saya lihat ini adalah satu usaha yang cukup baik untuk meningkatkan pemahaman rakyat amnya dan pasukan MCMC khususnya berkenaan dengan penggunaan kecerdasan buatan ataupun AI dan aplikasi sama ada bagi proses di pihak MCMC dan juga untuk dimanfaatkan melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional ataupun NADI di seluruh negara.
"Kita ada 911 NADI dan 186 yang akan disiapkan dalam tempoh yang terdekat dan kita harap akan dapat dimanfaatkan,"katanya.
Sebagai permulaan program MCMC-Microsoft AI TEACH akan memberi latihan dan persijilan kemahiran AI kepada 1,600 peserta yang terdiri daripada ahli komuniti berhampiran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), khususnya golongan rentan.
Program itu akan membantu meningkatkan kebolehpasaran 1,000 orang peserta melalui inisiatif padanan pekerjaan MyFutureJobs bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat Microsoft untuk melabur AS$2.2 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang di Malaysia, sekali gus akan menyokong fokus kerajaan kepada pembangunan keupayaan AI dalam negara.