
CYBERJAYA, 20 Januari -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka satu kertas siasatan susulan aduan orang awam terhadap kandungan dalam talian terbitan sebuah akhbar tempatan yang didakwa berunsur palsu.
- MCMC buka kertas siasatan susulan aduan orang awam terhadap kandungan dalam talian didakwa palsu.
- Kandungan dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen.
- Akhbar terbabit dipanggil ke ibu pejabat MCMC untuk memberi keterangan; siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Orang ramai digesa guna saluran rasmi aduan.mcmc.gov.my dan elak spekulasi atau kenyataan fitnah semasa siasatan.
Menurut kenyataan MCMC, kandungan berkenaan dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, semalam.
MCMC memaklumkan, pihak akhbar terbabit telah dipanggil ke ibu pejabat suruhanjaya itu petang ini bagi memberi keterangan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ia berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang berpotensi menyebabkan kekeliruan awam serta menjejaskan keharmonian masyarakat,” jelas MCMC.
Dalam pada itu, orang ramai digesa menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan melalui saluran rasmi MCMC bagi membolehkan tindakan diambil.
Aduan boleh dibuat menerusi portal aduan.mcmc.gov.my.
MCMC turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, komen melampau atau kenyataan berbentuk fitnah di media sosial, sebaliknya memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan.