MCMC buka 45 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu

Fahmi ditemui media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kuala Nerus, hari ini. Foto RTM

KUALA NERUS, 13 April- 45 kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berhubung penyebaran berita palsu di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diputuskan sama ada dikompaun atau didakwa di mahkamah.
  • Jika dikompaun, maksimum RM250,000; jika didakwa dan sabit, denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.
  • Sehingga kini 386 kandungan palsu telah dikenal pasti, melibatkan isu bahan api, tarif elektrik, dakwaan bayaran tol dan fitnah jual minyak.
  • MCMC mengarahkan penurunan kandungan dan bekerjasama dengan PDRM untuk mengenal pasti pemilik akaun serta rakam percakapan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kesemua kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut sama ada dikenakan kompaun atau pendakwaan di mahkamah.

“Maksudnya 45 individu ini kita serah kepada Peguam Negara samada untuk mengkompauan ataupun caj di mahkamah.

Kalau dikompaun, boleh dikompaun sehingga RM250,000 satu kesalahan sekiranya dicaj dan didapati bersalah di mahkamah atau boleh didenda RM500,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, ” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini, hari ini.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti dan sentiasa menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum disebarkan.

Menurutnya lagi 386 kandungan palsu melibatkan pelbagai isu telah dikenal pasti setakat ini.

Daripada jumlah itu, 118 kandungan berkaitan isu bahan api, 45 berkaitan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad, manakala 147 lagi mengenai dakwaan
bayaran tol kepada Iran.

Selain 15 kandungan fitnah yang mendakwa Malaysia menjual minyak kepada Filipina.

Fahmi berkata pelbagai tindakan telah diambil MCMC bagi membendung penyebaran berita palsu di media sosial termasuk mengarahkan penurunan kandungan serta mengenal pasti pemilik akaun dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dirakam percakapan.