fb fb fb fb fb

MCMC boleh kenakan syarat tambahan, pastikan persaingan sihat syarikat telekomunikasi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjawab pertanyaan media selepas pelancaran Sambutan Hari Kurier Negara 2024 hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa/ Foto Bernama

CYBERJAYA, 9 November - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhak mengenakan syarat tambahan kepada Syarikat U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebelum syarikat itu menjadi pelaksana rangkaian 5G kedua Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, syarat tambahan tersebut wajar dikenakan bagi memastikan tidak berlaku sebarang dominasi atau ketidakseimbangan, sekali gus mewujudkan persaingan sihat antara syarikat telekomunikasi.

"Kita tidak boleh keliru syarat pemilihan dan syarat yang akan dikenakan untuk spektrum. Itu perkara berbeza dan semua Telco faham. Sewaktu penggabungan Celcom dan Digi, MCMC mengenakan syarat sejumlah spektrum perlu dikembalikan.

"Dan sekiranya U Mobile ingin bekerjasama dengan mana-mana syarikat lain untuk membangunkan rangkaian 5g kedua, maka MCMC perlu mengenakan syarat-syarat supaya tidak berlaku satu ketidakseimbangan. Kita ingin pastikan DNB dan rangkaian kedua saling melengkapi, disamping bersaing dgn sihat. tidak berlaku keadaan over-dominance oleh satu-satu dan MCMC berhak mengenakan syarat kepada U Mobile," kata Fahmi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Kurier Negara 2024, di sini.

Dalam perkembangan lain Fahmi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menjawat jawatan Perdana Menteri meskipun tempoh beliau sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tamat selepas tiga penggal.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR menegaskan tiada isu yang berbangkit mengenai perkara itu kerana Perdana Menteri masih memegang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

"Tidak berlaku sebarang konflik, keadilan memang mengamalkan had tiga penggal bagi jawatan presiden, tetapi pada waktu ini tidak ada apa-apa isu yang berbangkit. Dan Perdana Menteri boleh terus berkhidmat yang pertama sebagai perdana menteri sekarang malah untuk penggal seterusnya Insya-Allah. Tidak ada isu daripada segi itu, kita dah fikirkan perkara ini," katanya.

TETITIA YUSOFF