KUALA LUMPUR, 30 April- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menganjurkan satu persidangan berkaitan keselamatan teknologi dan inovasi dalam industri komunikasi dan multimedia pada 6 -7 Mei ini di ibu negara.
Mengangkat tema 'Menyelaras Inovasi Dengan Keselamatan Untuk Masa Depan Mampan', Persidangan Kawal Selia Antarabangsa atau International Regulatory Conference (IRC 2024) itu akan membincangkan pelbagai inovasi, teknologi baharu, rangka kerja kawal selia dan kaedah dalam lingkungan industri komunikasi dan multimedia.
Menurut penganjur, sebagai tuan rumah MCMC membayangkan persidangan itu bakal menjadi platform untuk pihak berkepentingan dari seluruh dunia berkumpul dan bertukar-tukar idea, berkongsi pandangan dalam meneroka landskap industri yang semakin rancak membangun.
"Persidangan berkenaan berusaha untuk merentasi rantau, menawarkan peserta peluang tersendiri untuk mengambil bahagian dalam dialog aktif dan menjalin hubungan yang berharga menerusi perkongsian idea.
"Peserta berpeluang bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan mengenai kepakaran mengenai inovasi dan perspektif baharu dalam industri komunikasi" menurut MCMC.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dijangka hadir utk memberi ucaptama pada hari pertama persidangan.
Sila daftarkan penyertaan anda di IRC 2024 menerusi pautan berikut https://mcmc.gov.my/irc24/index .