MCMC adakan perjumpaan dengan platform X minggu depan

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 14 Januari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan perjumpaan dengan pihak platform X pada minggu hadapan bagi membincangkan isu berkaitan Grok, yang dibangunkan oleh platform berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC akan mengadakan perjumpaan dengan platform X minggu hadapan untuk membincangkan isu Grok.
  • MCMC telah berhubung dengan X dan kini menunggu maklum balas lanjut sebelum pertemuan dimuktamadkan.
  • Beberapa perkara masih perlu disahkan terlebih dahulu sebelum sesi perbincangan dijalankan.
  • Isu Grok turut dibawa ke Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian bagi mengukuh penguatkuasaan keselamatan digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat pagi tadi, MCMC telah pun berhubung dengan pihak X dan kini sedang menunggu maklum balas lanjut sebelum pertemuan berkenaan dimuktamadkan.

Jelasnya, terdapat beberapa perkara yang masih perlu disahkan sebelum sesi perbincangan itu dapat diadakan.

“Perkembangan terkini platform Grok, saya ada dapatkan maklumat terkini. Setakat pukul 10.00 pagi tadi, pihak MCMC memaklumkan bahawa mereka telah berhubung dengan pihak X untuk cuba adakan pertemuan pada minggu hadapan.

“Ada beberapa perkara yang akan disahkan sebelum pertemuan itu berjalan. Tetapi mereka ada berhubung dan sekarang kita nantikan maklum balas”, katanya dalam Sidang Media Pasca Kabinet di Putrajaya.

Tambahnya, isu berkaitan Grok sebelum ini turut dibincangkan dalam mesyuarat melibatkan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh penguatkuasaan keselamatan digital dan memastikan pematuhan platform media sosial terhadap peraturan sedia ada.