fb fb fb fb fb

MBPP lulus RM500,000 konsultasi pelebaran jalan Bayan Lepas - Azrul Mahathir

(Azrul Mahathir Aziz daripada calon PH yang bertanding DUN Bayan Lepas)

BAYAN LEPAS, 30 Julai- Sebanyak RM500,000 telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi proses konsultasi untuk pelaksanaan projek pelebaran jalan di sini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, Azrul Mahathir Aziz berkata, beliau telah meminta kerajaan negeri menyegerakan peruntukan bagi tujuan itu.

Tegas beliau, isu kesesakan lalu lintas menjadi antara perkara utama yang sedang ditangani calon Pakatan Harapan (PH) tersebut.

"Sekarang sudah berjalan proses konsultasi atau perunding yang dilantik, yang mana MBPP sudah luluskan RM500,000 untuk kos tinjauan, untuk kira jumlah kereta, dan nak bagi (kaji) laluan trafik ke mana.

"Alhamdullilah, proses ini sedang berlaku dan kita nak selesaikan masalah di persimpangan Masjid Sungai Batu dahulu. Saya bagitahu kerajaan negeri, yang mana boleh buat, kita buat dahulu," katanya ketika meluangkan masa bersama penduduk di Kampung Suluk, di sini.

Sementara itu, penduduk di sini mahukan wakil rakyat yang sentiasa berada di kawasan mereka bagi memudahkan pertemuan untuk sebarang permasalahan yang timbul.

Mereka berharap penyandang kerusi DUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir dikekalkan berdasarkan rekod baik yang ditunjukkan pada penggal lalu.

"Kami sangat memerlukan seorang wakil rakyat yang boleh turun padang, selain berlaku kematian, kenduri kendara serta lain-lain kebajikan kami, contohnya kejadian banjir, dan sekarang dah selesai (masalah banjir). Kami perlukan wakil rakyat yang sentiasa berada di DUN Bayan Lepas untuk melihat dan memantau perkembangan seterusnya," Rusli Hashim, penduduk di sini.

"Alhamdullilah, beliau (Azrul Mahathir) turun jumpa kita. Apa-apa yang kita perlu, beliau datang. Sungguhpun beliau orang luar, beliau bagus," Basri Osman, penduduk di sini.

"(Kami mahukan) wakil rakyat yang boleh beri kami kesenangan di kampung ini seperti kebajikan untuk orang miskin, untuk (pembangunan) kampung, itu yang kami mahukan, " Suria Nawawi, penduduk di sini.

(Azrul Mahathir Aziz meluangkan masa bersama penduduk Kampung Suluk
di Bayan Lepas, Pulau Pinang)

Media Baharu