GEORGE TOWN, 23 Mac - Kompaun akan dikenakan terhadap individu yang didapati membuang sampah dan sisa makanan merata-rata termasuk membuang kepada burung merpati di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
MBPP dalam kenyataan memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu adalah mengikut Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
Tindakan mahkamah turut dikenakan terhadap pesalah tegar dan masih ingkar serta mereka yang tidak membayar kompaun untuk kesalahan dilakukan.
"Pemberi makanan seperti itu mungkin beranggapan mereka bersifat baik hati dan pengasih, namun sebenarnya tindakan tersebut akan menjejaskan tahap kebersihan dan kesihatan awam malah ia juga menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk.
"Oleh yang demikian, MBPP akan bertindak tegas terhadap mereka yang didapati membuang sampah dan sisa makanan merata-rata," menurut kenyataan itu.
Menurut MBPP sejak Januari hingga 19 Mac lepas, sebanyak 93 notis kompaun dikeluarkan berkaitan kesalahan Anti Litter termasuk lima kompaun kepada individu yang membuang sisa makanan kepada burung merpati.
Selain itu, MBPP juga terpaksa membelanjakan kos tambahan untuk mencuci tempat awam seperti siar kaki yang penuh dengan najis burung yang bersifat asidik dan menghakis serta boleh menjejaskan kesihatan manusia dan merosakaan harta awam.
"Selain itu, MBPP perlu membelanjakan duit rakyat dan menyediakan kakitangan yang lebih di samping kelengkapan dan pengangkutan untuk memastikan kebersihan pulau ini sentiasa dijaga dan dipelihara," menurut kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, sebanyak 6,606 ekor burung merpati ditangkap pada 2023 berbanding 5,020 pada 2022.