
PETALING JAYA, 13 Mac – Seramai 150 anak yatim dan 100 keluarga kurang berkemampuan diraikan dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya hari ini, yang turut menyaksikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM60,000 disalurkan kepada golongan berkenaan.
- MBPJ menganjurkan program berkongsi rezeki dan menghargai warga kerja serta membantu golongan memerlukan menjelang Aidilfitri.
- Anak yatim menerima bantuan wang, biskut raya dan baucar; keluarga kurang berkemampuan mendapat bantuan wang dan biskut melalui e-Kasih.
- MBPJ menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja dan program selari dengan Pelan Strategik MBPJ 2026-2030 untuk kesejahteraan komuniti.
Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon program berkenaan dianjurkan sebagai tanda perkongsian rezeki selain menghargai warga kerja MBPJ di samping membantu golongan yang memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri.
“Program ini kita jalankan sebagai tanda perkongsian rezeki kepada mereka dan juga meraikan warga kerja MBPJ yang selama ini berkhidmat kepada bandar raya ini.
“Pada bulan yang baik ini kita turut menghimpunkan rakan media dan pihak pendidikan yang turut menyumbang. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang yang membantu menyediakan makanan dan sekali gus meringankan kos penganjuran majlis ini.”
Pada majlis tersebut, 150 anak yatim yang terdiri daripada anak-anak warga kerja MBPJ serta anak kariah dari Masjid Dato’ Haji Kamaruddin, Masjid Ara Damansara dan Masjid As-Salam menerima sumbangan RM200 setiap seorang selain biskut raya dan baucar beli-belah.
Sementara itu, 100 penerima daripada keluarga kurang berkemampuan yang dikenal pasti melalui pangkalan data e-Kasih menerima sumbangan RM300 setiap seorang bersama biskut raya bagi membantu persediaan Aidilfitri.
Sebagai penghargaan, Mohamad Zahri turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 11 rakan penaja yang menyokong penganjuran program tersebut.
Tambah beliau, usaha berkenaan selari dengan aspirasi pembangunan bandar di bawah Pelan Strategik MBPJ 2026–2030 yang menekankan kesejahteraan komuniti, pembangunan sosial inklusif serta kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat.