fb fb fb fb fb

MBNPs agih 300 pek makanan bantu penduduk terjejas banjir

Sebanyak 300 pek makanan beserta alatan pembersihan rumah disampaikan kepada penduduk terjejas banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang dan DUN Indera Kayangan/foto fail

KANGAR, 1 Disember – Sebanyak 300 pek makanan beserta alatan pembersihan rumah disampaikan kepada penduduk terjejas banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang dan DUN Indera Kayangan oleh Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) dengan kerjasama Junior Chamber International (JCI) Alor Setar dan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) serta Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) Perlis.

Menurut Presiden MBNPs, Mohd Jeffry Hassan, inisiatif dilaksanakan ini bagi mengurangkan beban dihadapi penduduk disaat mengharungi bencana yang memusnahkan harta benda serta kerosakan kepada kediaman yang didiami.

Katanya, MBNPs sentiasa mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak khususnya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu untuk bersama-sama menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir.

"Ketika ini, selepas banjir mulai surut dan penduduk kembali ke kediaman masing-masing, bukan sahaja sumbangan barangan makanan dan pembersihan, tetapi mereka juga memerlukan penglibatan sukarelawan yang prihatin untuk turun padang membersihkan kediaman mereka.

Selain tujuan menyerahkan sumbangan pek cucian, kehadiran NGO turut membuka mata terhadap realiti sebenar yang dihadapi penduduk ketika banjir. Setiap kali bencana melanda, rakyat daripada pelbagai kaum dan latar belakang tampil menghulurkan bantuan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi kekuatan negara, " katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Batu Hampar, Kayang, di mana masih terdapat kediaman penduduk yang ditenggelami banjir.

Sumbangan disampaikan secara terus dari rumah ke rumah penduduk terjejas banjir dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) kawasan terlibat.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI