fb fb fb fb fb

MBI serah sumbangan RM222,000 kepada jemaah haji muassasah 2024

Datuk Seri Amirudin Shari

HULU SELANGOR, 5 Mei- Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan sumbangan sebanyak RM222,000 kepada 222 jemaah haji muassasah 2024 bagi daerah Hulu Selangor hari ini.

Setiap jemaah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berharap, sumbangan tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) itu dapat dimanfaatkan dan membantu meringankan beban kewangan penerima sumbangan.

"Hari ini kita meraikan jemaah haji yang bakal bergerak tidak lama lagi ada sebahagiannya akan bergerak awal.

"Jadi kita kena sampaikan awal sumbangan yang telah lama kita luluskan tetapi itu yang MBI serahkan. Saya gembira dapat meraikan jemaah-jemaah haji," katanya selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama komuniti pendidik dan jemaah haji muassasah peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di sini.

Dalam majlis sama sebanyak 54 buah sekolah di daerah Hulu Selangor menerima sumbangan dana pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM54,000.

Setiap sekolah, masing-masing menerima RM1,000 bagi menjalankan program-program PIBG seperti penganjuran kem motivasi, majlis apresiasi pelajar dan aktiviti gotong-royong.

Dalam perkembangan lain, berhubung insiden mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, semalam Amirudin meminta supaya pihak polis diberikan ruang bagi melakukan siasatan.

"Saya minta ia disiasat, mungkin hasrat dia lain apa tujuan dia ataupun memang ada kaitan dengan Yang di-Pertuan Agong. Siasatan itu penting dipercayai perlu disiasat," katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Komuniti Pendidik dan Jemaah Haji Muassasah Peringkat Daerah Hulu Selangor 2024 di Batang Kali.

Terdahulu, polis menahan dua lelaki dan merampas kenderaan pacuan empat roda kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu, semalam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI