fb fb fb fb fb

MBI, PBT pertama turap jalan industri guna teknologi CMA

Kerja-kerja penurapan jalan menggunakan teknologi CMA oleh MBI

IPOH, 22 November- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama melaksanakan penurapan semula jalan industri menggunakan teknologi asfalt terubahsuai getah bekuan atau Cuplump Modified Asphalt (CMA).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi kerja pembaikan dan penurapan jalan industri melibatan jajaran 9.5 kilometer di Kawasan Perindustrian Tasek, Kawasan Perindustrian IGB, Jalan Bendahara serta jalan utama Station 18.

"Kerja penurapan jalan ini akan dimulakan pada 22 November 2023 hari ini dan dijangka siap dalam tempoh empat hingga enam minggu selewat-lewatnya sebelum 31 Disember.

"Diharapkan pengguna jalan mematuhi arahan jalan raya semasa pelaksanaan kerja-kerja di tapak bagi melancarkan proses kerja penurapan jalan di kawasan yang telah dikenal pasti,"katanya.

Tambahnya, kerja pembaikan dan penurapan menggunakan kaedah CMA adalah usahasama antara pihak MBI dengan lembaga Getah Malaysia melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Beliau bercakap kepada pemberita pada program lawatan Tapak Penggunaan Teknologi Cuplump Modified Asphalt (CMA) di Ipoh.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Ketua Unit Kejuruteraan Lembaga Getah Malaysia Dr Nazirah Ahmad berkata, teknologi CMA berupaya meningkatkan kualiti turapan dengan mengurangkan kesan retakan, kesan aluran dan memanjangkan jangka hayat turapan.

"Teknologi yang kami ada sekarang ini adalah penambahan getah dalam bitumen biasa jadi dengan adanya penambahan getah ini kita kata kita dapat memberi elastik yang lebih kepada jalan dan ini dapat memanjangkan jangka hayat jalan itu.

"Maknanya kita dapat menjimatkan lah kos maintenance kos jangka hayat jalan itu akan bertambah,"kata Dr Nazirah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE