fb fb fb fb fb

MBAS lupus 17 kenderaan terbiar guna perintah mahkamah

FOTO MBSA

ALOR SETAR, 14 April- Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melaksanakan tindakan pelupusan terhadap 17 buah kenderaan terbiar yang telah mendapat perintah lucut hak daripada mahkamah.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata kenderaan berkenaan ditinggalkan di lokasi awam seperti kawasan perumahan, bawah jambatan dan tepi jalan, sekali gus mencacatkan pemandangan serta menimbulkan pelbagai masalah termasuk kekurangan petak parkir, gangguan lalu lintas dan menjadi tempat pembiakan makhluk perosak.

Katanya, MBAS menerima aduan melalui sistem e-aduan serta rondaan anggota penguat kuasa.

Selepas semakan dibuat, notis pertama akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berdasarkan Seksyen 46(3)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Menurut beliau, jika pemilik gagal mengalihkan kenderaan selepas tamat tempoh notis, tindakan menunda akan dilaksanakan dan notis kedua dihantar ke alamat berdaftar pemilik melalui sistem MySikap.

Jelasnya, jika tiada tuntutan dibuat dalam tempoh 30 hari, siasatan akan dibuka dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan izin mendakwa.

Mahkamah kemudian boleh mengeluarkan Perintah Lucut Hak bawah Seksyen 116 akta sama untuk pertukaran hak milik di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Tindakan tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan MBAS menangani lambakan kenderaan lusuh dan terbiar di sekitar bandar raya itu yang mengganggu kesejahteraan penduduk setempat.

SITI AISHAH MD ISA