IPOH, 12 Oktober – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, hari ini melakukan pemantauan udara melibatkan 15 lokasi berisiko bencana di negeri itu.
Pemantauan melibatkan kawasan Kinta, Changkat Jering dan Kinta Kampar yang berisiko banjir serta kepala air, Bukit Merah yang berdepan kebakaran hutan dan kemarau, Terowong Menora di Lebuhraya PLUS bagi menilai risiko kemalangan, serta Lenggong yang dikenal pasti berpotensi tinggi mengalami tanah runtuh.
Tinjauan udara yang dilaksanakan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, dan mengambil masa kira-kira dua jam.
Antara kawasan yang dipantau di Kinta ialah Ulu Chepor, Kledang Sayong dan Lebuhraya PLUS, manakala di Changkat Jering melibatkan Kampung Bendang Siam dan Air Terjun Bukit Jana.
Bagi kawasan Bukit Merah, pemantauan tertumpu di Gunung Semanggol dan Tasik Bukit Merah, di Lenggong melibatkan Kuak Hill Resort dan Dataran Tasik Raban, manakala di Kinta Kampar termasuk Sungai Siput dan Gopeng.
Tinjauan tersebut turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahman.
Menurut Timbalan Pengarah JBPM Perak, Yusri Mohd Yusof @ Hashim, sepanjang tahun 2025, negeri itu merekodkan 332 kawasan kerap dilanda banjir, 37 kawasan berisiko tanah tinggi dan berbukit, serta 21 lokasi dikenal pasti mudah berlaku kepala air dan kebakaran hutan.