fb fb fb fb fb

Mayat tiga beradik mangsa kepala air di Bidor dikebumi satu liang lahad

Lebih 50 jemaah dalam kalangan ahli keluarga dan kariah masjid di Masjid Al-Muhtadin Bidor melakukan solat jenazah

BIDOR, 8 Februari - Jenazah tiga beradik yang terbabit dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh Bidor selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar pukul 6.20 petang di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini.

Jenazah Hanum Marissa Azam, 2, Hafif Muhayat Azam, 4 dan Hanna Mikayla Azam,7, dikebumikan bersebelahan kubur ibu mereka Aszura Bani, 37 tahun yang turut terkorban dalam kejadian tersebut.

Terdahulu jenazah ketiga-tiga beradik itu disolatkan lebih 50 jemaah dalam kalangan ahli keluarga dan kariah masjid di Masjid Al-Muhtadin Bidor kira-kira pukul 5.20 petang.

Sementara itu, jenazah Aszura yang merupakan peniaga buah-buahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sebelah selatan dikebumikan dilokasi sama pada pukul 12.20 tengah hari tadi.

Dalam kejadian 4.03 petang semalam, enam sekeluarga bersama seorang pembantu rumah terperangkap dalam kepala air sewaktu sedang berkelah di Sungai Kenjur Kampung Poh, Bidor.

Tiga daripadanya terselamat manakala empat lagi ditemukan lemas.

TETITIA YUSOFF