BALING, 28 Februari- Pelajar lelaki berusia 15 tahun ditemukan lemas di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, di sini, Kedah, kira-kira pukul 10.00 pagi tadi.
Mayat, Muhammad Fakhrullah Mohamad dijumpai tersangkut pada reba pokok tumbang dalam sungai terbabit oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Dalam kejadian semalam, mangsa dipercayai lemas ketika berenang dan mandi bersama lapan rakannya di sungai terbabit sekitar pukul 5.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya memulakan SAR setelah menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.29 petang semalam.
Operasi SAR turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang kampung.