fb fb fb fb fb

Mayat lelaki lemas selepas terbabas ke parit ditemukan

FOTO FB Bomba & Penyelamat Negeri Pahang

NENASI, 9 Januari- Seorang lelaki ditemukan lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam parit di ladang kelapa sawit Sungai Bebar Utara dekat sini, Pahang, semalam.

Mayat, Muhammad Adhwa Haslan, 31, ditemukan pagi tadi oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan di kedudukan 100 meter (m) dari lokasi mangsa dilapor hilang pada kedalaman tiga meter.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd Noor Hisyam Kadri berkata, kejadian itu disaksikan oleh rakan mangsa dan seorang pengawal keselamatan.

Kedua-dua mereka cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana arus deras.

"Susulan itu, pasukan bomba dari BBP Nenasi telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat dibantu oleh PPDA dari BBP Pekan.

"Operasi ditangguhkan lewat petang semalam sebelum bersambung semula pagi ini," katanya dalam kenyataan.

Mohd Noor berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki dikhuatiri lemas selepas motosikal terbabas ke parit

SITI AISHAH BINTI MD ISA