fb fb fb fb fb

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Anak Bukit

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang telah mereput.

ALOR SETAR, 1 Ogos- Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di Sungai Anak Bukit berdekatan Kampung Alor Madi, di sini, pagi tadi.
 
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang telah mereput.
 
"Pemeriksaan terhadap mayat mangsa menemui dokumen pengenalan diri pada seluar panjang yang dipakai dan berdasarkan dokumen pengenalan diri tersebut, mayat dipercayai adalah warga tempatan yang baru sahaja dilaporkan hilang pagi tadi oleh keluarganya," katanya.
 
Menurut Siti Nor Salawati, keluarga mangsa tampil membuat laporan polis berkenaan kehilangan tersebut setelah mendapati mangsa tidak kembali ke rumah sejak pukul 6.00 petang, Selasa lalu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.
 
Setakat ini, polis mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut sehingga laporan penuh bedah siasat diperolehi kelak.
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI