KOTA TINGGI, 29 Januari- Mayat kanak-kanak lelaki yang hilang selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor pada Isnin lalu, ditemukan pada pukul 10.20 pagi tadi, di Sungai Johor.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Penguasa Polis (SP) Yusof Othman berkata, mayat kanak-kanak sembilan tahun itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berhampiran lokasi mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam arus air longkang.
"Mangsa ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian, dan terapung di permukaan air.
"Identiti mangsa telah disahkan waris dan ahli keluarga, sebelum dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kota Tinggi untuk prosedur siasatan," katanya menerusi kenyataan.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.