KOTA BHARU, 21 Mei- Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berhasrat untuk bekerjasama dengan Thailand dalam merancakkan sektor pelancongan terutamanya membabitkan negeri-negeri di pintu sempadan negara.
Presiden MATTA Malaysia, Nigel Wong berkata usaha itu dilakukan susulan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang kini telah membenarkan kemasukan bas dari Thailand ke semua negeri di Malaysia.
Katanya, kemudahan itu merupakan inisiatif yang baik dalam menarik pelancong dari negara tersebut bagi merancakkan aktiviti pelancongan di Malaysia.
“Seoerti contoh di Perak, sudah ada satu perjanjian persefahaman dengan Thailnd untuk mempromisikan negeri Perak dan Thailand, itu adalah langkah yang kami ambil, kami juga brminat membuat sesuatu yang berlainan di negeri-negeri lain juga,"katanya selepas Majlis Perasmian Pejabat MATTA Kelantan Chapter di Kota Bharu.
Katanya, selepas Perak yang menjadi projek perintis, MATTA turut berhasrat untuk merancakkan aktiviti pelancongan dengan kerjasama itu di negeri Kelantan, Kedah, Perlis, Terengganu dan Johor.
Katanya, selain kerjasama itu, pihaknya juga akan mengadakan kunjungan ke Association of Thai Travel Agents (ATTA) bagi mempromosikan sektor pelancongan di negara ini.
Dalam pada itu, Nigel berkata, sasaran 26.1 juta pelancong asing sempena tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026 nanti dilihat mampu dicapai memandangkan MATTA mempunyai rangkaian yang baik dengan negara luar termasuk China, Eropah dan sebagainya.