fb fb fb fb fb

MATTA Fair 2025 pacu momentum Tahun Melawat Malaysia 2026

Majlis Perasmian MATTA Fair di MITEC hari ini.

KUALA LUMPUR, 6 September - Edisi ke-57 Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair), membuktikan sektor pelancongan negara semakin rancak, dengan tumpuan kepada agenda kelestarian menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Surrendren Sathasivam berkata, pelancongan domestik menjana RM107.2 bilion pada 2024, meningkat 26.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Penyertaan pelbagai agensi negeri dan pemain industri menggalakkan rakyat Malaysia menerokai destinasi tempatan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi, komuniti dan kelestarian destinasi,” katanya ketika merasmikan MATTA Fair di MITEC, hari ini.

Presiden MATTA, Nigel Wong pula menyifatkan rakyat Malaysia sebagai duta terbaik negara dan menyeru mereka menerokai kekayaan budaya serta warisan tempatan sebelum berkongsi dengan dunia.

Pameran tiga hari bermula 5 September itu menampilkan lebih 2,000 reruai termasuk 40 reruai mempromosikan pemeliharaan alam sekitar, konservasi budaya dan produk mesra alam, menerusi MATTA Eco & Sustainable Tourism Initiative (MESTI).

Masuk adalah percuma dari pukul 10 pagi hingga 9 malam, dengan perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall.

TUN JULIA MOHD TAHIR