MATRADE giat teroka pasaran baharu susulan konflik di Asia Barat

Foto RTM

BERTAM, 15 Mac – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempergiat usaha meneroka pasaran baharu sebagai langkah alternatif untuk mengurangkan kesan konflik geopolitik di Asia Barat terhadap perdagangan Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • MATRADE arah pesuruhjaya perdagangan jalankan risikan pasaran lebih agresif dan laporkan mengikut Terma Rujukan baharu.
  • Reezal Merican tekankan kepentingan usaha untuk memastikan hala tuju perdagangan lebih strategik ketika ketidaktentuan global meningkat.
  • Kenaikan harga minyak dan insurans perkapalan meningkatkan tekanan, menyebabkan pembatalan pesanan import dan menjejaskan pengeksport.
  • Program sumbangan Ramadan menyantuni hampir 700 penduduk Kuala Batang dengan wang tunai RM150 dan barangan keperluan.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu penting bagi memastikan negara menghala tuju perdagangan yang lebih strategik, khususnya ketika ketidaktentuan global semakin meningkat.

Menurutnya, semua pesuruhjaya perdagangan MATRADE telah diarahkan menjalankan risikan pasaran dengan lebih agresif serta mengemukakan laporan berdasarkan Terma Rujukan (ToR) yang baharu.

“Harga minyak kini melepasi 100 Dolar se tong. Dijangkakan akan tekanan yang menyebabkan harga terus meningkat. Begitu juga dengan insuran perkapalan.

“Dan ada menyebabkan berlakunya pembatalan-pembatalan pesanan daripada negara-negara pengimport. Dan ini semua adalah rangkuman permasalahan yang pastinya akan akan dihadapi oleh
pengeksport kita.” kata beliau.

Datuk Seri Reezal Merican berkata demikian selepas majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadan & Ceria Aidilfitri Perpaduan Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan MBSP Bertam.

Kira-kira 700 penduduk di sekitar Kuala Batang menerima sumbangan bernilai hampir RM300 sempena program tersebut.

Ia merangkumi wang tunai berjumlah RM150 berserta barangan keperluan harian daripada sektor korporat.