
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah yang bermula tahun depan hanya akan ditawarkan kepada murid Tahun Lima dan Tahun Enam bagi sekolah rendah.
- Sejarah hanya ditawarkan kepada murid Tahun Lima dan Enam di peringkat sekolah rendah.
- Di sekolah menengah, Sejarah dimulakan mulai Tingkatan Satu.
- Elemen kenegaraan dan politik digabungkan dalam Sejarah dan Pendidikan Sivik.
- Kerjasama dengan Akademi Pilihan Raya kukuhkan literasi politik dan pengalaman pengundian.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bagaimanapun akan ditawarkan kepada murid bermula Tingkatan Satu bagi sekolah menengah.
“Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini telah menjelaskan mengenai kurikulum baharu yang akan bermula pada tahun hadapan melibatkan murid tahun satu dan tingkatan satu.
“Pihak kementerian mengambil perhatian laporan media mengenai penawaran mata pelajaran Sejarah pada peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah dalam Kurikulum Persekolahan 2027,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, pengenalan kurikulum persekolahan baharu secara berperingkat bermula 2027 bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal dinamik dan memenuhi keperluan masa depan.
Bermula 2026, KPM turut melaksanakan Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI yang memberi tumpuan kepada empat komponen utama termasuk pengukuhan nilai patriotisme dan pembinaan jati diri positif dalam kalangan murid.
“Elemen pendidikan kenegaraan dan politik telah diintegrasikan dalam mata pelajaran Sejarah serta Pendidikan Sivik bagi memberi pendedahan awal mengenai konsep demokrasi.
“Pengukuhan literasi politik turut dilaksanakan melalui kerjasama dengan Akademi Pilihan Raya bagi memberi pengalaman pembelajaran autentik kepada murid mengenai proses pengundian dan tanggungjawab sebagai pemilih,” tambah kenyataan itu.