
ALOR SETAR, 18 Februari – Cuaca panas dan kering yang melanda sejak beberapa bulan lalu tidak menghalang masyarakat Tionghua di Kedah untuk meraikan Tahun Baharu Cina dalam suasana penuh meriah dan harmoni.
- Masyarakat Tiong Hwa Kedah meraikan Tahun Baharu Cina dengan penuh meriah dan harmoni walaupun cuaca panas.
- Ramai mengambil peluang cuti perayaan untuk berkumpul keluarga dan menziarahi sanak saudara mengeratkan hubungan.
- Datuk Dr Cheng Joo An teruskan tradisi menerima tetamu termasuk kunjungan pemain badminton Pearly Tan.
- Hidangan kuih-muih tradisional dan harapan untuk kemakmuran, perpaduan serta pertumbuhan ekonomi dikongsi bersama.
Tinjauan mendapati rata-rata masyarakat Tiong Hwa mengambil peluang cuti perayaan untuk berkumpul bersama keluarga serta menziarahi sanak saudara bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Bagi ahli perniagaan tempatan, Datuk Dr Cheng Joo An, tradisi berkumpul bersama keluarga di kediamannya sebelum berkunjung ke rumah saudara-mara sudah menjadi amalan saban tahun.
Beliau yang juga Pengerusi Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Keat Hwa H turut menerima kunjungan istimewa pemain badminton beregu wanita negara, Pearly Tan, yang merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.
Kehadiran Pearly bersama ahli keluarganya menambahkan lagi kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini. Pearly yang bergandingan dengan M. Thinaah sebelum ini menjuarai Kejohanan Masters Indonesia 2026 pada Januari lalu.
“Sambutan perayaan seperti ini bukan sahaja mengukuhkan ikatan persaudaraan, malah menjadi platform mempererat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” kata Datuk Dr Cheng.
Pelbagai juadah serta kuih-muih tradisional turut dihidangkan kepada tetamu yang hadir, sekali gus menyemarakkan lagi suasana perayaan.
Beliau berharap Tahun Baharu Cina kali ini membawa kemakmuran, perpaduan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik kepada rakyat serta negara.