fb fb fb fb fb

Masyarakat Siam Pendang teguh sokong Kerajaan MADANI

Program Gala Dinner PKR Siam Pendang di Sungai Tiang, Pendang, Kedah

PENDANG, 8 Mac- Masyarakat Siam di Pendang, Kedah menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan semua rakyat termasuk kaum minoriti di negara ini.

Menurut mereka, Kerajaan Persekutuan bawah kepimpinan Perdana Menteri menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

"Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan MADANI yang telah memberikan kami peruntukkan yang begitu besar untuk JPKKP di kawasan DUN Sungai Tiang ini dan kami telah mendapat seperti khemah, traktor ada yang dapat lori dan pelbagai lagi kemudahan yang diadakan untuk masyarakat di kawasan ini.

"Seterusnya kami memerlukan lagi bantuan daripada pihak kerajaan Malaysia. Jadi saya harap masyarakat Siam di kawasan DUN Sungai Tiang dan juga di Kedah akan memajukan diri lagi bila ada bantuan-bantuan yang akan datang lagi," kata Pengerusi JPKKP Kampung Padang Pusing, Lim Eng Sian.    

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Gala Dinner PKR Siam Pendang di Sungai Tiang, Pendang, Kedah.

Program turut dihadiri Setiausaha Politik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Romli Ishak dan Naib Pengerusi PKR Kedah merangkap Ketua Cabang PKR Pendang, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad.

Sementara itu, Datuk Dr. Zulkifly berkata, masyarakat Siam perlu terus menyokong kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar bagi memastikan perancangan dan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Katanya, kerajaan Malaysia MADANI sentiasa fokus untuk membantu dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun fahaman politik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE